Saya Sedih Dan Insaf Pak Ya Dan Lan Pet Pet Bermaafan Rancang Bawa Tunai Umrah

Sebelum ini, pengawal keselamatan Yahya Manap ada menyatakan tidak puas hati dengan denda yang dikenakan ke atas pelawak Lan Pet Pet dan mahu mahkamah menambah hukuman. Yahya atau lebih mesra dipanggil Pak Ya juga didakwa mahu ambil tindakan saman malu terhadap Lan sebanyak RM3juta.

Namun, ketegangan itu akhirnya selesai selepas Lan datang berjumpa dan bersungguh-sungguh memohon maaf. Lan juga amat menyesali perbuatannya sebelum ini. Saya maafkan Lan – Pak Ya

Menerusi laporan Berita Harian, Yahya atau lebih mesra dipanggil Pak Ya memaafkan Lan selepas mereka bertemu empat mata di sebuah premis di Nilai malam tadi.

Mereka yang ditemani keluarga dan sahabat baik dilihat bermaafan dan mengakhiri ketegangan dengan baik.

Saya maafkan Lan (Mazlan)… Ini bukan kerana wang tetapi keinsafan dirinya membuka hati saya memaafkannya.

Buang yang keruh, ambil yang jernih. Lagipun, Ramadan al-Mubarak akan tiba, tidak lama lagi. Lebih elok kami berbaik daripada memanjangkan sengketa pada bulan mulia.

Saya bukannya pendendam… Segala perbuatan dan kekhilafan Lan terlerai sebaik kami bersemuka.

Tidak teruskan saman

Menerima permohonan maaf dengan hati yang terbuka, Pak Ya memberitahu kasihan melihat Lan yang terjejas reputasi selepas insiden itu.

Asalkan Lan insaf dengan perbuatannya, itu sudah cukup. Saya akan berbincang dengan peguam untuk menarik balik permohonan rayuan supaya hukuman terhadap Lan disemak semula.

Saya tidak akan meneruskan tindakan saman itu.

Katanya lagi, dia menghormati Lan kerana sanggup memohon maaf dan datang bersemuka. Mengenai tindakan saman sebelum ini, dia akan berbincang semula dengan peguam.

Saya sedih dan insaf – Lan

Lan juga akhirnya dilihat lega selepas berminggu-minggu runsing dan tidak senang hati selagi tidak bersemuka dengan Pak Ya dan keluarga.

Saya mengambil sedikit masa untuk mengatur pertemuan ini. Saya perlu mencari nombor telefon dan memastikan Pak Ya bersetuju untuk bersemuka.

Saya berterima kasih pada Pak Ya dan keluarga yang menerima pelawaan untuk bertemu.

Pada awalnya, saya tahu Pak Ya marah. Tetapi apabila melihat saya dengan rendah diri, zahir dan batin memohon maaf, dia akhirnya tersenyum.

Walaupun pada pertemuan ini, air mata tidak menitis, tetapi hati saya menangis tiada siapa tahu.

Saya sedih dan insaf. Saya berjanji akan menjaga Pak Ya dan keluarga seperti famili sendiri. Saya merancang membawa Pak Ya dan isteri menunaikan umrah di Makkah, insya-Allah.

Tambah Lan, dia sangat menyesali perbuatan dan sentiasa ingat pesanan Pak Ya supaya tidak lagi mengulangi kesilapan. sumber:ohbulan

Mazlan bin Ahmad atau lebih dikenali sebagai Lan Pet Pet (lahir 20 Mei 1969) ialah seorang pelawak, penyanyi, pelakon dan pelawak Malaysia. Beliau ialah salah seorang anggota kumpulan Senario.Beliau memulakan kerjaya dalam bidang hiburan semenjak beliau menyertai program realiti lawak Sinaran Pasport Kegemilangan terbitan TV3 di tahun 1990-an. Selepas berjaya menduduki tempat teratas dalam sayembara tersebut, beliau telah ditawarkan untuk menyertai sitkom pentas yang disiarkan di TV3, Senario. Tidak lama kemudian, Senario telah dijadikan sebuah kumpulan lawak. Mazlan dan anggota lain kemudian telah merakamkan album yang lirik lagu-lagunya berunsurkan lawak.

Beliau memulakan kerjaya beliau dalam bidang perfileman pada tahun 1999 melalui filem Senario The Movie arahan Aziz M. Osman bersama rakan-rakan Senario yang lain sebagai diri beliau sendiri, watak Mazlan.

Beliau telahpun mendirikan rumah tangga bersama Ruby Che Wan pada 20 Ogos 2008. Bersama isterinya, beliau telah ke Tanah Suci untuk menunaikan Haji pada tahun 2017, bertepatan dengan pada hari ulang tahun perkahwinannya.

Beliau pernah menjadi mangsa berita palsu di media sosial yang bertajuk ‘Al-Fatihah, takziah pelawak Senario Lan Pet-Pet’ yang telah disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang kononnya menggunakan platform Sinar Harian.[petikan diperlukan] Ini mengakibatkan beliau terkilan kerana mendatangkan rasa cemas pada ibunya.